Hukum Masbuq Solat Jumaat

Masbuq Jumaat

Solat Jumaat adalah solat yang diwajibkan berjemaah sekurang-kurangnya empat puluh orang ahli jemaah yang mencukupi syarat-syarat berjemaah iaitu Islam, baligh, berakal, lelaki, merdeka, tidak uzur dan bermukim. Solat Jumaat merupakan ibadat mingguan dan dia dapat merapatkan hubungan persaudaraan dan perpaduan di kalangan orang Islam.

Selalu berlaku di kalangan kita yang tiba lewat di masjid dan tidak sempat bersama imam, jadi bagaimanakah cara yang betul untuk meyempurnakan solatnya, adakah perlu menghabiskan 2 rakaat? atau perlu tambah menjadi 4 rakaat menjadi solat zohor?

Solat Jumaat dilakukan dua rakaat dengan dua khutbah. Bagi makmum masbuq, jika sekiranya makmum tersebut sempat rukuk bersama imam pada rakaat yang kedua dengan tamakninah, maka dia mendapat Jumaat dan dia wajib menambahkan satu rakaat selepas imam memberi salam.

 Jika makmum yang masbuq sempat berjemaah ketika imamya iktidal atau ketika selepas iktidal seperti sujud pada rakaat yang kedua dan sebagainya, maka luputlah Jumaatnya. Dia dihendaki menyempurnakan solat zohor dengan menambahkan empat rakaat selepas imam memberi salam.

Kepada makmum yang masbuq yang tidak sempat mengikut imam Jumaat dalam rukuk yang kedua wajib ke atasnya berniat Jumaat, tetapi setengah ulama fekah berpendapat bahawa harus bagi makmum masbuq berniat Jumaat atau niat zohor jika dia tidak sempat rukuk bersama imam Jumaat pada rakaat yang kedua. Ulama yang mengatakan wajib makmum masbuq berniat Jumaat itu hanya pada segi niat sahaja tetapi perlaksanaan amalannya ialah solat zohor empat rakaat.

Semoga maklumat ini dapat membantu kita dalam memastikan ibadah solat kita dikerjakan dengan baik dan sempurna. Selamat Mengerjakan Solat Jumaat..