Pembayaran Fidyah


Pembayaran Fidyah

Apakah Pengertian Fidyah? Maksud fidyah ialah memberi makan kepada orang-orang fakir dengan satu cupak makanan asasi untuk setiap hari puasa yang ditinggalkan. Sukatan ini bertambah dengan bertambahnya tahun.

Berapakah satu cupak itu? ukuran 1 cupak sama dengan lebih kurang 600 gram. Al-Tirmizi meriwayatkan daripada Umar r.a katanya:

Barangsiapa yang mati sedangkan dia masih mempunyai puasa Ramadhan yang belum diqada'kannya, hendaklah diberi makan seorang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkan bagi pihaknya.

Fidyah ini wajib kepada keadaan berikut:

Orang bermusafir dan orang sakit.
Orang yang meninggalkan puasa Ramadhan disebabkan sakit atau bermusafir, wajib menggantikannya sebelum datang ramadhan tahun berikutnya. Sekiranya tidak menggantikannya sehingga tahun berikutnya maka wajib qada' dan fidyah.

Orang yang terlalu tua dan tiada harapan untuk sembuh.
Sekiranya orang yang terlalu tua terpaksa berbuka, dia wajib bersedekah satu cupak makanan asasi bagi setiap hari yang ditinggalkannya. sekiranya orang tua tidak dapat menguruskannya, adalah menjadi kewajiban kepada anaknya untuk menguruskannya.

Dalilnya Surah Albaqarah ayat 184.

184. (Puasa Yang Diwajibkan itu ialah beberapa hari Yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu Yang sakit, atau Dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari Yang dibuka) itu pada hari-hari Yang lain; dan wajib atas orang-orang Yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah Iaitu memberi makan orang miskin. maka sesiapa Yang Dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari Yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (Walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.

Perempuan hamil dan menyusukan anak.
Apabila wanita hamil dan menyusukan anak diharuskan berbuka sekiranya membimbangkan mudarat kepada diri sendiri dan anaknya, dan wajib Qada' sebelum datang bulan Ramadhan berikutnya.