MMI : Melindungi Masa Instruksional



Seringkali kita terdengar perkataan MMI, kena jaga MMI, dan sebagainya, sebenarnya apakah yang dimaksudkan dengan MMI?

"MELINDUNGI MASA INSTRUKSIONAL  
Kembali Kepada Yang Asas   
Pemimpin Instruksional, Guru Mengajar dan Murid Belajar"

MMI adalah singkatan daripada Melindungi Masa Instruksional, apakah pula maksud Melindungi Masa Intruksional ini? Siapakah yang terlibat dalam MMI? Bagaimana MMI berlaku? Apakah Objektif perlaksanaan MMI?

MMI

Kementerian Pendidikan Malaysia sentiasa berusaha untuk memastikan kualiti pendidikan negara berada di tahap yang terbaik demi pembangunan negara yang tercinta. Tanpa kualiti pendidikan yang baik, usaha untuk menjadi sebuah negara yang maju menjelang 2020 sukar untuk dicapai.

Objektif pelaksanaan Melindungi Masa Instruksional (MMI) ialah: 
 
a) Memastikan semua peringkat pengurusan pendidikan memahami konsep MMI, 
 
b) Memastikan semua peringkat pengurusan pendidikan dapat meningkatkan usaha MMI di sekolah untuk meningkatkan keberhasilan pembelajaran murid, 
 
c) Semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dapat menyebarluaskan konsep MMI ke semua sekolah di bawah pentadbiran mereka, 
 
d) Memastikan peningkatan masa pembelajaran berkesan dalam kalangan murid di semua sekolah, dan 

e) memastikan guru mesti berada di dalam kelas dan melaksanakan pembelajaran dengan berkesan.

Kenapa perlu kepada MMI?

Pemeriksaan di sekolah memperlihatkan terdapat sebilangan guru yang meninggalkan bilik darjah dan tidak melaksanakan PdP sama ada disebabkan tugas rasmi atau tidak rasmi. Oleh hal yang demikian, dikemukakan beberapa cadangan berkaitan pengurusan kurikulum, kokurikulum, jadual waktu dan latihan bagi mengatasi masalah ketiadaan guru di dalam kelas.

Beberapa Isu yang difokuskan adalah seperti berikut:

1. Guru tiada di sekolah
2. Guru berada di sekolah tetapi tidak berada dalam kelas 
3. Guru masuk kelas tetapi tidak mengajar 
4. Pengurusan bilik darjah
5. Kesediaan guru melaksanakan pengajaran 
6. Kesediaan murid 
7. Gangguan dalaman
8. Disiplin murid 
9. Acara rasmi sekolah 

Semua isu di atas ini banyak berlaku di sekolah sehingga menyebabkan waktu pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas tidak berlaku dengan baik.

Antara Cadangan dan Tindakan Mengatasi Masalah tersebut:

1. Guru tiada di sekolah 
 
Pihak pentadbiran sekolah perlu merancang dan melaksanakan kaedah guru ganti dengan baik dan berkesan. Proses ini boleh dilaksanakan menerusi : 
 
a) Aliran yang sama 
Guru ganti yang ditugaskan di sesebuah kelas akan dapat mengajar mengikut tahap sukatan yang sama walaupun subjeknya berbeza dengan guru yang tidak dapat hadir. 

b) Tahap yang sama 
Sekiranya guru yang diganti itu bukan daripada aliran yang sama, sekurang-kurangnya biarlah guru tersebut pada tahap yang sama dengan guru yang tidak dapat hadir sama ada tahap satu atau tahap dua kerana perbezaan sukatan tidaklah terlalu jauh berbeza. 
 
c) Konsep jual beli 
Menerusi konsep ini, guru yang sedia maklum akan ketidakhadirannya bagi sesuatu kelas boleh bertukar masa PdP bagi subjeknya dengan guru aliran yang sama supaya apabila ia kembali bertugas, ia akan mengambil alih masa PdP guru berkenaan. Guru berkenaan juga boleh menyediakan bahan yang terancang dan lengkap membolehkan masa tersebut dapat dipenuhi dengan PdP yang berkesan. 
 
2. Guru berada di sekolah tetapi tiada di kelas 
Pihak pentadbir sekolah perlu memberikan penekanan dan membuat pemantauan agar semua guru dapat memenuhi dan mematuhi masa instruksional berdasarkan jadual yang ditetapkan. Tindakan secara berhemah seperti nasihat, amaran seterusnya ke tahap tindakan tatatertib perlu diambil terhadap guru terlibat.

Usaha-usaha untuk melindungi masa instruksional (protecting instructional time) perlulah dititikberatkan oleh pihak sekolah terutama guru-guru bagi memastikan pembaziran masa untuk PdP dapat dikurangkan.

Semoga hasrat dan usaha ini dapat dijayakan bersama oleh semua pihak tidak kira dari kalangan pentadbir, guru, murid dan juga penjaga.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat berkenaan MMI seperti cadangan pelaksanaan dan kaedah pengurusan ini boleh memuat turun di bawah: