Panduan Praktikum DPLI

Praktikum merupakan satu latihan amali kepada pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai keguruan secara reflektif dalam situasi sebenar bilik darjah dan sekolah. Pelaksanaan program ini memberi tumpuan kepada bimbingan dalam proses pengajaran dan pembelajaran, bimbingan dan kaunseling melalui perkongsian pintar dan pemuafakatan antara institut pendidikan guru, sekolah dan agensi-agensi lain yang berkaitan.

Melalui program praktikum ini, pelajar dapat:
  • Menyepadukan teori dengan amali dalam pengajaran dan pembelajaran serta bimbingan dan kaunseling;
  • Mengaplikasikan pelbagai strategi dan kemahiran pengajaran dan pembelajaran;
  • Menguasai pelbagai strategi, perancangan dan pelaksanaan aktiviti kokurikulum;
  • Mengaplikasi kemahiran mentaksir dan menilai;
  • Memupuk sikap positif, meningkatkan jati diri serta menghayati dan mengamalkan nilai profesion keguruan;
  • Memperkembang potensi diri sebagai pendidik atau guru bimbingan melalui pembinaan portfolio dengan mengamalkan refleksi dan penilaian kendiri dalam semua aspek tugas;
  • Mengoptimumkan kegunaan pelbagai sumber, teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) serta inovasi sama ada dalam proses pengajaran dan pembelajaran atau bimbingan dan kaunseling.
Beberapa perkara penting yang perlu disediakan sebelum bermulanya praktikum adalah:

Penyediaan Fail / Portfolio Praktikum
Adalah menjadi kewajipan kepada semua untuk menyediakan fail praktikum sebelum bermulanya praktikum, kerana untuk pra penyeliaan pada minggu pertama, fail praktikum akan dilihat dan disemak.

Buku Rekod Pengajaran Harian
Buku rekod pengajaran hendaklah dilengkapkan, iaitu semua maklumat diri, takwim, sukatan, nama murid, poket, dan sebagainya disiapkan sebelum bermulanya praktikum.

Dokumen Standard Kurikulum dan Prestasi
DSK dan DSP hendaklah di sediakan mengikut tahun yang diajar.

Rancangan Pengajaran Semester
Rancangan pengajaran semester hendaklah dibuat mengikut kesesuaian tarikh bermulanya praktikum dan mengikut takwim persekolahan, tulis juga tarikh mengikut hari mengikut waktu yang diajar.

Pernyataan Praktikum
Hendaklah ditulis sebelum, semasa dan selepas praktikum.

Penyediaan Jurnal Mingguan
Jurnal mingguan hendaklah ditulis pada setiap minggu.

DOWNLOAD GARIS PANDUAN PRAKTIKUM DPLI : DOWNLOAD