Contoh Refleksi Bina Insan Guru BIG



Program Bina Insan Guru, BIG, merupakan satu program wajib yang perlu dilalui oleh para pelatih di semua Institut Pendidikan Guru Malaysia. Ia bertujuan melahirkan modal insan yang mantap dari aspek kerohanian, nilai etika, dan akhlak keguruan di samping meningkatkan daya ketahanan dan kekuatan individu dari segala sudut; fizikal, emosi, rohani dan sosial.

Selepas pulang dari Program BIG ini, setiap pelajar dikehendaki membuat refleksi berdasarkan aktiviti yang telah dijalankan di sana. Releksi yang baik perlu meliputi pengalaman sebelum BIG, semasa BIG, dan semasa BIG. Di sini saya berbesar hati untuk berkongsi contoh refleksi Bina Insan Guru yang telah di buat.

REFLEKSI KENDIRI         
Puji-pujian dan syukur yang tidak terhingga saya panjatkan pada Allah, yang telah mencurah rahmat dan nikmat. Jutaan terima kasih saya tujukan buat ibu bapa, para pensyarah, jurulatih dan rakan-rakan yang tidak putus-putus berkongsi ilmu dan idea sepanjang saya menyiapkan tugasan ini.

Kem BIG berlangsung dengan baik. Banyak kenangan baru yang kami galas pulang. Bermula dari aktiviti-aktiviti lasak di darat, di air, hinggalah aktiviti ringan seperti LDK, memasak, berbincang dan bergotong-royong, setiap incinya tersimpan pengalaman dan pengajaran.Berikut adalah nilai-nilai yang kami perolehi sepanjang program BIG ini:

(1) Aktiviti Darat
Aktiviti Darat merangkumi aktiviti pemasangan khemah, Istiadat Bendera, kawad kaki, memasak, ikatan tali paracut, ekspedisi Gua Kerbau, dan gotong-royong.

1-Pemasangan Khemah.
Semasa khemah dipasang, saya dapat melihat betapa pentingnya semangat kerjasama sesama ahli kumpulan. Khemah tidak akan boleh dibina berseorangan. Salah seorang perlu memegang tiang, seorang lagi mengikat tali dan ahli-ahli yang lain perlu menarik kain bumbung dan lantai khemah supaya tidak kendur dan runtuh.

2-Istiadat Menaikkan Bendera
Istiadat Menaikkan Bendera merupakan aktiviti di mana semua peserta perlu  menyanyikan lagu dalam keadaan berdiri tegak, sambil bendera dinaikkan. Setelah itu, ketua skuad akan memberi laporan kepada Ketua Komandan atau mana-mana jurulatih. Melalui istiadat ini, saya dapat belajar bahawa etika dan protokol sangat penting kerana ia adalah salah satu cara untuk mendisiplinkan diri ketika berada di kalangan pemimpin atau orang besar.

3- Kawad Kaki.
Setiap kali berhimpun, semua peserta akan mengadakan kawad kaki dengan diketuai oleh ketua skuad. Aktiviti ini membuatkan saya tahu bahawa setiap peserta perlu berada dalam keadaan senang diri sewaktu sebarang taklimat dibuat. Ketua skuad yang dilantik bergilir-gilir juga dilatih untuk membuat laporan. Ini dapat mendidik kami supaya sentiasa menjaga etika terutamanya ketika bercakap dengan insan-insan yang berpangkat.

4- Memasak.
Dalam sehari, kami diberi makan sebanyak empat kali. Setiap hidangan akan disediakan oleh kumpulan yang berbeza-berbeza mengikut jadual yang telah ditetapkan. Perkara ini nampak remeh, namun, di sebaliknya saya mendapati bahawa pentingnya kerjasama  sesama sendiri ketika sesuatu lauk dimasak. Selain itu, memandangkan bahan-bahan yang digunakan agak terhad, ia dapat melatih kami supaya kreatif untuk mencari menu yang sesuai supaya lauk yang dimasak, bertepatan dengan selera semua kaum; Melayu, India dan China.

5- Belajar ikatan
Dengan menggunakan tali paracut, kami sempat mempelajari empat jenis ikatan; Bunga Geti, Buku Sila, Manok dan Tindih Kasih. Setiap ikatan ini punya kegunaan yang berbeza. Ikatan Tindih Kasih misalannya sesuai digunakan ketika mahu menyelamatkan mangsa lemas. Melalui apa yang kami pelajari, dapatlah kami praktikkan simpulan-simpulan ini seandainya berlaku kecemasan.

6- Gotong-royong
Di akhir perkhemahan, kami diminta bergotong-royong membersihkan sekitar kawasan kem. Setiap peserta mengambil bahagian dan melaksanakan tugas dengan baik sekali. Apa yang dapat saya lihat ialah, setiap peserta perlu ada sikap rajin, dan tolong-menolong. Perbezaan bangsa dan agama sedikit pun tidak menjadi masalah. Buktinya, setiap daripada kami ringan tulang dan mengamalkan sikap “yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.”



(2) Aktiviti Air
Ia terbahagi kepada dua: “Water Confidence” dan berkayak.


1- “Water Confidence”
Semasa berada di Taman Tasik Darulaman, kami diminta berendam dalam air tasik, yang dalamnya mencecah lebih 10 meter. Ada dua perkara yang sempat saya kutip sebagai pengalaman di sini, iaitu, yang pertama, setiap peserta perlu ada keyakinan pada diri sendiri. Pada awalnya, saya asyik mencari-cari seseorang untuk saya berpaut. Tetapi setelah jurulatih mengarahkan kami supaya menjarakkan kedudukan, keyakinan saya mula bertambah kerana saya tidak perlu lagi bergantung pada orang lain. Yang kedua, setiap peserta perlu ada sikap sabar dalam apa jua keadaan. Sewaktu berada di permukaan air, ada satu masa, kami perlu berpasangan. Perasaan saya yang gelisah akhirnya berjaya ditenangkan oleh pasangan saya yang berbangsa China. Saya kagum dengan kesabarannya yang tinggi semasa melayan karenah saya.

2- Berkayak
Aktiviti berkayak yang dijalankan menyumbang pengajaran-pengajaran bermakna buat saya. Pertama, saya dapat mempelajari teknik memegang dayung dan cara mendayung dengan betul. Kedua, ketika dua orang rakan dari kumpulan kami terbalik kayaknya, kesabaran kami betul-betul teruji. Di bawah bahang mentari yang kian terasa,  kami bertungkus lumus menolong mereka hingga berjaya naik ke atas kayak. Dari situ, saya mendapati peri pentingnya sikap sabar dan semangat berpasukan pada setiap ahli kumpulan, kerana  tanpa kedua-dua sifat ini, mungkin dua orang rakan kami tadi boleh lemas.

(3) Latihan Dalam Kumpulan
Aktiviti ringan ini walaupun hanya berlangsung di atas lantai dewan, ia tetap memberi saya pulangan berharga. “Ice breaking” yang diadakan pada hari pertama berjaya mengikat hati-hati kami untuk lebih akrab. Jauh dari itu, kemesraan juga terjalin sesama ahli-ahli kumpuulan yang lain dengan adanya interaksi dua hala ketika sesi pembentangan. ‘Jati Diri 1 dan 2” yang diadakan pada hari kedua juga tidak kurang hebatnya. Kisah Cikgu Sunan begitu terkesan di hati dan mengajar kami tentang pentingnya sikap prihatin terhadap anak murid bagi seorang guru yang baik.

Rumusan Keseluruhan


Secara keseluruhan, saya secara peribadi merasakan bahawa program yang kami jalani ini telah berjaya dilaksana. Melalui semua aktiviti yang kami sertai samaada di darat ataupun di air , dapatlah saya rumuskan bahawa program ini amat mendidik saya menjadi seorang yang berdisiplin berpatutan dengan Falsafah Pendidikan Negara yang menuntut para guru supaya menjaga tingkah laku dan etika perguruan walau di mana pun berada. Selain itu, program ini juga mengajar saya supaya bijak membahagi dan menepati masa. Program BIG yang disertai oleh tiga kaum yang berbeza ini membuatkan saya banyak belajar budaya baru di samping dapat mengukuhkan tali persaudaraan dengan mereka. Sikap toleransi dan hormat-menghormati juga secara tidak langsung tersemai dalam hati saya dan rakan-rakan melalui setiap aktiviti yang dilakukan. Sesungguhnya program Kem BIG yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia ini sangat praktikal dan memberi banyak imbuhan kepada para pesertanya hingga sukar untuk saya mencari kelemahan. Justeru saya berharap program umpama ini akan diteruskan supaya setiap bakal guru akan melengkapkan diri bukan sahaja dari segi mental, tetapi juga dari segi ketahanan fizikal.


Ini adalah contoh refleksi, mungkin sedikit sebanyak dapat membantu anda dalam membuat refleksi yang baik, sebagai sokongan anda dipelawa untuk like kami di facebook. terima kasih.